PDB, PK komited jaga keharmonian

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Dalam usaha memastikan kehormian kampung dan mencegah sebarang kegiatan jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah mengadakan rondaan di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lambak Kanan Kawasan 2 semalam.

    Seramai 14 orang anggota polis dari Balai Polis Berakas diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas, Inspektor Nur Adiba, bersama Ketua Kampung RPN Kampung Lambak Kanan Kawasan 2, Haji Awang Basri bin Abu Bakar dan 11 orang ahli-ahli pengawasan kejiranan (PK) kampung berkenaan telah mengadakan rondaan yang bermula jam 10:30 hingga tengah malam.

    Rondaan dan pemantauan berjalan kaki dibahagikan kepada dua kumpulan, yang bermula di sekitar kawasan perumahan Simpang 262 Jalan 10 Utara, manakala kumpulan lain membuat rondaan sekitar Jalan 83, kawasan rumah teres kosong di Simpang 29 dan kawasan Jalan 88.

    Sesi taklimat mengenai langkah-langkah keselamatan diadakan sebelum rondaan dijalankan.

    Sebelum rondaan dibuat, satu taklimat mengenai PK serta langkah-langkah keselamatan yang perlu dilakukan semasa membuat rondaan telah disampaikan oleh Inspektor Nur Adiba.

    Turut ikut serta ialah Ketua Unit Perhubungan Awam Pasukan PDB, ASP Amiruddin bin Haji Tunjang selaku Urusetia PK bagi memastikan sebarang tindak-tanduk pemantauan yang dilaksanakan lebih teratur.